Ahad, 29 November 2009

Ulasan Buku!


Ziarah dan Salam Kumpulan Puisi Terbaik Pena Mutiara
Pengulas: DR.TALIB SAMAT, UPSI (dr.talibsamat@yahoo.com)

PENA MUTIARA atau nama sebenarnya Ahmad Sabky Haji Tahir,penulis kelahiran Kuala Kurau,Perak kini muncul lagi dengan sebuah kumpulan puisi persendirian berjudul Ziarah dan Salam yang diterbitkan oleh penerbit terbaik di Malaysia iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pena Mutiara sebelum ini pernah muncul dengan kumpulan puisi Bunga Desa diterbitkan sewaktu saya bertugas di DBP pada era 1990-an.

Kemunculan kumpulan puisi terbaru Pena Mutiara ini memuatkan 116 buah puisi terbaik penyair ini yang menyentuh pelbagai tema kemanusiaan,keagamaan, kesejarahan,perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, kenangan terhadap tokoh penyair yang telah pergi dan para sahabatnya.

Tema-tema keagamaan banyak digarap oleh Pena Mutiara menerusi puisinya seperti “Al-Quran”, “Ya Karim”, “Masjid”””Umrah”,”Ziarah”,”Mengerjakan Haji””Berdakwah””Makkah”,”Madinah” “Depan Baitullah” dan sebagainya yang memperlihatkan kepekaannya terhadap perjuangan memartabatkan agama Islam
di muka bumi ini menerusi media puisi.

Sesuai dengan judul kumpulan puisi ini Ziarah dan Salam,Pena Mutiara memperingatkan kepada kita tentang kepentingan amalan ziarah dan salam khususnya kepada jiran atau sahabat yang sedang sakit.Hal ini ketara dalam petikan puisi “Ziarah dan Salam” iaitu:

Siapa antara kita
pergi menziarahi saudaranya
ataupun jiran tetangga
yang sedang sakit
ikhlas kerana Allah
ada hadis daripada Rasulullah
diriwayatkan oleh Tarmizi
yang bermaksud begini:
“akan Allah tempatkan mereka
di dalam syurga.”(hlm.6)



Dalam beberapa buah puisinya juga mengenangkan kembali ingatan dan nostalgianya terhadap beberapa orang tokoh seniman dan sasterawan yang telah meninggal dunia seperti Tan Sri P.Ramlee dalam puisinya “Tiga Dekad Kau Pergi”,T.Alias Taib dalam puisinya “T.Alias Taib Dalam Kenangan”, Pak Sako dalam puisinya “Namamu Tetap Mewangi”, Usman Awang dalam puisinya ‘Namamu Terus Mewangi(2)”.

Begitu juga kenangan dan pertemuannya dengan penulis Norhisham Mustafa terungkap dalam puisi “Pertemuan” dan nostalgianya terhadap penulis dan wartawan Ibrahim Omar terungkap dalam puisinya “Tanda Ingatan.”






Begitu juga pesanan dan ingatannya kepada anak tunggalnya, Hanis Fatini agar menghadapi hidup ini dengan tabah,hati-hati dan waspada dalam menghadapi kerenah manusia terungkap dalam puisi “Pesanan(2)”, “Pesanan Kepada Hanis Fatini”, “Hanis Fatini”, “Hanis Fatini(2)” dan “Hanis Fatini(3). Daya kreativiti

penyair yang tersendiri menyebabkan pemerhatiannya terhadap anaknya sendiri mencetuskan ilham menulis beberapa buah puisi .

Tema keagamaan yang dikupas dan disentuh oleh Pena Mutiara tentang amalan berziarah,salam,umrah,haji, berdakwah, mengikhlaskan diri dalam persahabatan, berbuat baik sesama jiran dan umat manusia begitu ketara dalam puisi-puisinya.

Pena Mutiara yang juga penulis rencana-rencana agama di pelbagai akhbar dan majalah tempatan memang cukup intim dalam penulisan puisi berunsur lslam.

Penglibatan beliau sebagai travel agent yang menguruskan ibadat umrah dan haji tidak sedikit ditumpahkan dalam puisi-puisinya tentang ibadat haji dan umrah.Bukan sesuatu yang mustahil judul kumpulan puisi ini juga diangkat daripada penglibatan beliau dalam kerjaya tersebut.

Saya juga mencadangkan agar kumpulan puisi ini dibaca oleh para jemaah haji dan umrah yang berangkat ke Makkah pada setiap kali.Saya yakin mereka akan mendapat tambahan dan nilai tambah pengalaman rohani sesudah membaca kumpulan puisi ini.

Di samping itu, keprihatinannya terhadap perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ketara dalam puisinya “Bahasaku” yang antara lain berbunyi:

Bahasaku
terus unggul dan maju
gagah merentas waktu
menolak segala angkara seteru
yang ingin mengharu-biru (hlm.36)

Pena Mutiara juga prihatin dengan perjuangan tokoh-tokoh Islam yang berjuang menegakkan hidup yang sederhana dan zuhud seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz (hlm.114) dan Ibrahim bin Adham.(hlm.112-113) yang boleh menjadi contoh teladan umat lslam masa kini dan akan datang.

Penyair yang berkemampuan menulis cerpen ini juga menyorot pemikiran pembaca tentang pentingnya menghadapi saat tua dan kematian serta bersiap sedia menghadapinya dengan amalan suci dan mulia.Hal ini ketara dalam beberapa buah puisinya seperti “Usia”, “Usia Muda”, “Senja”,”Senja Kian Dekat Masa Kian Singkat”, “Hari Tua” dan “Hari Tua(2).

Membaca kumpulan puisi Ziarah dan Salam karya Pena Mutiara kita akan menemui kepuasan rohani yang tersendiri kerana saratnya pesanan,peringatan dan mutiara pemikirannya yang berunsur keagamaan sebagai renungan dan panduan hidup manusia sama ada lslam atau bukan lslam.

Kesimpulannya,kumpulan puisi Ziarah dan Salam karya Pena Mutiara bermanfaat dibaca oleh semua peringkat pembaca dan wajar dimiliki oleh rakyat Malaysia.Mereka wajar menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup dan perlu memilih buku-buku berkualiti untuk dibaca.

Di antaranya pilih dan bacalah buku puisi Ziarah dan Salam karya Pena Mutiara penyair kelahiran Kuala Kurau, Perak dan kini menetap di Taman Keramat Permai,Kuala Lumpur.

Judul Buku : Ziarah dan Salam(kumpulan puisi)
Pengarang : Pena Mutiara
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka(2009)
Harga : RM12.00