Khamis, 13 September 2012

Hashim Rejab bangga Halim Munan filem pertama guna 80% CGI

SUTRDARA Hashim Rejab melahirkan perasaan bangga kerana filem terbarunya, Halim Munan mengguna 80 peratus imej janaan komputer (CGI) yang jarang dibuat. Selain itu beliau juga gembira melihat reaksi penonton sebaik keluar dari panggung selepas menonton Halim Munan, sejak tayangan pada hari pertama 13 September lalu. Filem genre komedi seram berdurasi 80 minit ini membariskan lakonan Fizo Omar, Intan Ladyana, Zul Suphia’an, Fendi Balas, Gbob, Khatijah Tan dan Wan Hanafi Su. Ini filem kelima arahannya dan kali pertama bersama penerbit, RR Empire yang bekerjasama dengan syarikat penerbitan terkenal dan aktif, Metrowealth (MIG) yang bertindak sebagai pengedar. Kata Hashim, Halim Munan adalah filem pertama negara ini menggunakan 80 peratus imej janaan komputer (CGI) yang jarang dibuat. “Dorongan kesan CGI membuatkan filem ini sedikit berlainan daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini seperti filem Papa I Love You atau 3 Temu Janji. “Teknik seperti ini jarang, mungkin dibuat dalam tempoh 10 tahun sekali. Disebabkan faktor itu, saya meletakkan harapan agar penonton datang ke pawagam menonton Halim Munan kerana ia ada nilai tersendiri. “Saya sendiri berbesar hati ditawarkan tugasan mengarah filem ini kerana ia membolehkan saya meneroka lebih jauh dan melihat seseorang pelakon diketengahkan dalam bentuk lain,” kata pengarah drama bersiri popular Adamaya ini. Hashim merupakan pengarah muda yang terlibat dengan Skim 10 Pengarah Muda Metrowealth International Group (MIG). Filem lain yang pernah diarahkannya ialah Sekali Lagi. Halim Munan yang menjalani penggambarannya di sekitar Lembah Klang pada 19 April lalu, turut menampilkan Gbob Raja Lawak. Selain GBob, penampilan sulung Kumpulan Balas di layar perak, yang menjadi peserta finale rancangan realiti TV Raja Lawak musim kelima.

Roslina berdoa Halim Munan capai kejayaan

PENERBIT filem Roslina Rohani berdoa agar Halim Munan, filem sulung produksi RR Emmpire akan mencapai kejayaan besar. malah Roslina juga mengakui berbesar hati mendapat bimbingan David Teo dalam penghasilan filem ini. “Sekalipun Halim Munan projek pertama RR Empire, justeru kami berbesar hati David memberi dorongan yang kuat mahu melihat filem ini mencapai kejayaan. “Saya sedia dikritik kerana sudah mencuba memberikan persembahan terbaik untuk memberi kelainan kepada penonton. Kami menggabungkan elemen komedi, aksi dan cinta dalam satu filem. "Kami turut memperhebatkan pelbagai promosi untuk memperkenalkan filem ini termasuk klip ringkas di saluran YouTube. “Apa kami harapkan kerjasama bersama Hashim yang berada dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG diberi kepercayaan mengarahkannya sebelum filem beliau selepas ini bertajuk Budak Pailang ditayangkan di pawagam pada 1 November depan,” katanya. Halim Munan mula ditayangkan sejak 13 September lalu, di pawagam seluruh negara.

Jumaat, 7 September 2012

Adegan Dari Filem Salam Cinta...

SEBAHAGIAN daripada adegan dalam filem Salam Cinta yang menggamit penonton generasi baru ke pawagam.

Salam Cinta ada kekuatan tersendiri – Azhari Zain

SUTRADARA Azhari Zain meyifatkan naskah Salam Cinta ini punya kekuatan tersendiri dan dilihat lebih dekat dengan senario dunia selebriti masa kini. Pernah mengarahkan filem komedi, seram seperti Santau, Mantra, Hantu Dalam Botol Kicap, filem taruhan terbarunya, Salam Cinta bukanlah filem Islamik pertama arahannya kerana sebelum ini, filem 7 Petala terlebih dahulu menjengah pawagam. Tambah Azhari lagi, Salam Cinta yang telah disiapkan bulan lepas pada bulan Ramadan, adalah penghijrahan ke jalan yang lebih baik dipilih oleh seseorang selebriti, akan ada dilema berkenaan hala tuju mereka dalam dunia hiburan, dan 'Salam Cinta' turut menyentuh aspek tersebut. Azhari yang berada dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG, seakan menyuntik semangat kepadanya dalam menyahut cabaran mengarahkan filem bergenre Islamik, genre yang kurang berani diketengahkan oleh pengarah di negara ini. "Filem ini menekankan konsep berlapang hati, berlapang dada menerima kelebihan serta kelemahan pasangan kita seadanya. “Namun ia digarap secara Islamik yang berkonsepkan penghijrahan di mana menuntut pengorbanan tinggi yang perlu dilalui individu yang bergelumang dalam dunia populariti. "Apa yang membuat saya tertarik dengan naskah ini adalah ia seperti dekat dengan senario penghijrahan selebriti-selebriti tanahair masa kini. “Kalau ia tidak 100 peratus tepat, namun intipatinya sedikit sebanyak mencerminkan pengorbanan yang diambil oleh mereka yang bergelar anak seni," kata Azhari. Dia yang ditemui pada majlis pra tonton filem ini di TGV, Sunway Pyramid, baru-baru ini turut meluahkan rasa puas hati dengan penerimaan rata-rata penonton yang terhibur dan berpuas hati dengan filem tersebut. "Saya amat berterima kasih pada pihak media dan peminat-peminat yang sudi hadir pada hari ini. Melihat pada penerimaan positif mereka pada filem ini benar-benar menggembirakan saya. "Meskipun filem seumpama ini adakalanya dipandang sepi, namun saya percaya ia tetap punya penggemar dan pengikutnya tersendiri. “Melihat pada kekuatan lakonan mantap barisan pelakon dalam filem ini juga, saya percaya ia dapat menarik lebih ramai lagi penonton menyaksikan filem komedi romantik bertema Islamik ini," kata Azhari lagi. Salam Cinta mengisahkan percintaan dua insan berlainan dunia. Perbezaan cara hidup mulanya membawa kepada perasaan benci, namun lama-kelamaan dengan hanya sekali lafaz salam, disulami dengan pengorbanan besar telah merubah hati dua insan ini kepada perasaan cinta. Dibintangi oleh Kamal Adli, Diana Amir, Mon Ryanti, Syuk Balas, Abdul Razak Ahmad serta ramai lagi, Salam Cinta bakal menjengah pawagam pada 6 September ini.

Jumaat, 31 Ogos 2012

Bengkel Penulisan Skrip Kamal Ishak

BENGKEL Penulisan Skrip anjuran Kamal Ishak lebih di kenali dengan panggilan Tuisyen Skrip kerana bengkel ini cuma memerlukan peserta sehingga lima orang sahaja yang akan di latih/fokus terpeinci kaedah menulis skrip dari peringkat asas. Bengkel selama tiga hari berterusan secara intensif dan fokus. Dengan yuran sebanyak RM1000, peserta akan diberi nota-nota bengkel, tayangan filem/drama contoh, senaskah skrip contoh, latihan dan semakan. Sijil penyertaan juga diberi. Peserta di jamin boleh menulis secara pro selepas mengikuti bengkel ini. Bengkel ini bukan bengkel kali pertama. Sudah banyak kali bengkel seperti ini di jalankan termasuk bengkel pengarahan, bengkel acting for camera, bengkel skrip advance, bengkel skrip dokumentari dan bengkel adaptasi novel ke skrip. Antara yang pernah menyertai ialah Sofea Jane, Vanida Imran, Era Fazira, Yaya Maembong (artis) dan lain-lain orang termasuk penulis skrip yang sudah ada pengalaman menulis.  Tarikh: 15hb hingga 17hb September 2012 Tempat: Takar Emas Sdn Bhd, No. 6-1, Jalan 5/4C, Desa melawati, Klang Gate, Ulu Klang, Kuala Lumpur Jam: 9 pagi hingga 5 petang Yuran: RM1000 Tutor: Kamal Ishak (pengarah filem/drama/dokumentari/penyunting/panel skrip/penceramah perfilaman/perunding kreatif perfileman) Email: kerismadura@yahoo.com  (untuk keterangan lanjut) Blog:  www.bagusfilem.blogspot.com  (untuk biodata)

12 Filem ceriakan Festival Filem Jepun

SEBANYAK 11 filem bahasa Jepun bakal ditayangkan selama 10 hari bersempena Festival Filem Jepun 2012 (JFF 2012) di Malaysia bermula 13 September ini. JFF 2012 dianjurkan oleh Pertubuhan Jepun Kuala Lumpur bersama dengan Golden Screen Cinemas (GSC) dan Konsulat Besar Jepun di Pulau Pinang menyenaraikan filem Key of Life, penerima anugerah Lakon Layar Terbaik Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-15, menerusi filem Key of Life. Peminat filem bahasa Jepun tanah air bukan sahaja berpeluang menonton filem arahan Kenji Uchida ini, malah di anggap beruntung kerana filem Key of Life ditayangkan di Malaysia tiga hari lebih awal daripada tarikh tayangannya di Jepun iaitu pada 15 September 2012. Key Of Life mengisahkan seorang pemuda bernama Sakurai (Masato Sakai) yang menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang pelakon. Kecewa dengan hidup, Sakurai nekad untuk membunuh diri. 11 lagi filem turut ditayangkan sepanjang JFF 2012, ialah filem A Good Husband, arahan Yukisada Isao, ALWAYS – Sunset On Third Street – 3 (Yamazaki Takashi), Hayabusa (Tsutsumi Yukihiko), I Wish (Kore-eda Hirokazu), Ninja Kids! (Miike Takashi), Permanent Nobara (Yoshida Daihachi), Rebirth (Narushima Izuru), Someday (Sakamoto Junji), The Last Ronin (Sugita Shigemichi), Wonder Child (Hagiuda Koji), dan filem Death Of A Japanese Salesman, arahan Sunada Mami. JFF 2012 yang memulakan tayangan di pawagam di Lembah Kelang pada 13 hingga 18 September membabitkan pawagam di GSC Mid Valley, GSC Pavilion KL dan GSC 1 Utama. Manakala pada 20 September sehingga 23 September di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang. Tiket untuk menyaksikan filem-filem JFF 2012 dijual dengan harga RM5.00 setiap satu dan ia boleh dibeli dua hari sebelum tarikh tayangan di kaunter GSC, GSC E-Payment dan juga aplikasi mobil GSC. JFF 2012 akan mengakhiri acara tahunannya ini pada 23 September.