Khamis, 13 September 2012

Hashim Rejab bangga Halim Munan filem pertama guna 80% CGI

SUTRDARA Hashim Rejab melahirkan perasaan bangga kerana filem terbarunya, Halim Munan mengguna 80 peratus imej janaan komputer (CGI) yang jarang dibuat. Selain itu beliau juga gembira melihat reaksi penonton sebaik keluar dari panggung selepas menonton Halim Munan, sejak tayangan pada hari pertama 13 September lalu. Filem genre komedi seram berdurasi 80 minit ini membariskan lakonan Fizo Omar, Intan Ladyana, Zul Suphia’an, Fendi Balas, Gbob, Khatijah Tan dan Wan Hanafi Su. Ini filem kelima arahannya dan kali pertama bersama penerbit, RR Empire yang bekerjasama dengan syarikat penerbitan terkenal dan aktif, Metrowealth (MIG) yang bertindak sebagai pengedar. Kata Hashim, Halim Munan adalah filem pertama negara ini menggunakan 80 peratus imej janaan komputer (CGI) yang jarang dibuat. “Dorongan kesan CGI membuatkan filem ini sedikit berlainan daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini seperti filem Papa I Love You atau 3 Temu Janji. “Teknik seperti ini jarang, mungkin dibuat dalam tempoh 10 tahun sekali. Disebabkan faktor itu, saya meletakkan harapan agar penonton datang ke pawagam menonton Halim Munan kerana ia ada nilai tersendiri. “Saya sendiri berbesar hati ditawarkan tugasan mengarah filem ini kerana ia membolehkan saya meneroka lebih jauh dan melihat seseorang pelakon diketengahkan dalam bentuk lain,” kata pengarah drama bersiri popular Adamaya ini. Hashim merupakan pengarah muda yang terlibat dengan Skim 10 Pengarah Muda Metrowealth International Group (MIG). Filem lain yang pernah diarahkannya ialah Sekali Lagi. Halim Munan yang menjalani penggambarannya di sekitar Lembah Klang pada 19 April lalu, turut menampilkan Gbob Raja Lawak. Selain GBob, penampilan sulung Kumpulan Balas di layar perak, yang menjadi peserta finale rancangan realiti TV Raja Lawak musim kelima.

Roslina berdoa Halim Munan capai kejayaan

PENERBIT filem Roslina Rohani berdoa agar Halim Munan, filem sulung produksi RR Emmpire akan mencapai kejayaan besar. malah Roslina juga mengakui berbesar hati mendapat bimbingan David Teo dalam penghasilan filem ini. “Sekalipun Halim Munan projek pertama RR Empire, justeru kami berbesar hati David memberi dorongan yang kuat mahu melihat filem ini mencapai kejayaan. “Saya sedia dikritik kerana sudah mencuba memberikan persembahan terbaik untuk memberi kelainan kepada penonton. Kami menggabungkan elemen komedi, aksi dan cinta dalam satu filem. "Kami turut memperhebatkan pelbagai promosi untuk memperkenalkan filem ini termasuk klip ringkas di saluran YouTube. “Apa kami harapkan kerjasama bersama Hashim yang berada dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG diberi kepercayaan mengarahkannya sebelum filem beliau selepas ini bertajuk Budak Pailang ditayangkan di pawagam pada 1 November depan,” katanya. Halim Munan mula ditayangkan sejak 13 September lalu, di pawagam seluruh negara.

Jumaat, 7 September 2012

Adegan Dari Filem Salam Cinta...

SEBAHAGIAN daripada adegan dalam filem Salam Cinta yang menggamit penonton generasi baru ke pawagam.

Salam Cinta ada kekuatan tersendiri – Azhari Zain

SUTRADARA Azhari Zain meyifatkan naskah Salam Cinta ini punya kekuatan tersendiri dan dilihat lebih dekat dengan senario dunia selebriti masa kini. Pernah mengarahkan filem komedi, seram seperti Santau, Mantra, Hantu Dalam Botol Kicap, filem taruhan terbarunya, Salam Cinta bukanlah filem Islamik pertama arahannya kerana sebelum ini, filem 7 Petala terlebih dahulu menjengah pawagam. Tambah Azhari lagi, Salam Cinta yang telah disiapkan bulan lepas pada bulan Ramadan, adalah penghijrahan ke jalan yang lebih baik dipilih oleh seseorang selebriti, akan ada dilema berkenaan hala tuju mereka dalam dunia hiburan, dan 'Salam Cinta' turut menyentuh aspek tersebut. Azhari yang berada dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG, seakan menyuntik semangat kepadanya dalam menyahut cabaran mengarahkan filem bergenre Islamik, genre yang kurang berani diketengahkan oleh pengarah di negara ini. "Filem ini menekankan konsep berlapang hati, berlapang dada menerima kelebihan serta kelemahan pasangan kita seadanya. “Namun ia digarap secara Islamik yang berkonsepkan penghijrahan di mana menuntut pengorbanan tinggi yang perlu dilalui individu yang bergelumang dalam dunia populariti. "Apa yang membuat saya tertarik dengan naskah ini adalah ia seperti dekat dengan senario penghijrahan selebriti-selebriti tanahair masa kini. “Kalau ia tidak 100 peratus tepat, namun intipatinya sedikit sebanyak mencerminkan pengorbanan yang diambil oleh mereka yang bergelar anak seni," kata Azhari. Dia yang ditemui pada majlis pra tonton filem ini di TGV, Sunway Pyramid, baru-baru ini turut meluahkan rasa puas hati dengan penerimaan rata-rata penonton yang terhibur dan berpuas hati dengan filem tersebut. "Saya amat berterima kasih pada pihak media dan peminat-peminat yang sudi hadir pada hari ini. Melihat pada penerimaan positif mereka pada filem ini benar-benar menggembirakan saya. "Meskipun filem seumpama ini adakalanya dipandang sepi, namun saya percaya ia tetap punya penggemar dan pengikutnya tersendiri. “Melihat pada kekuatan lakonan mantap barisan pelakon dalam filem ini juga, saya percaya ia dapat menarik lebih ramai lagi penonton menyaksikan filem komedi romantik bertema Islamik ini," kata Azhari lagi. Salam Cinta mengisahkan percintaan dua insan berlainan dunia. Perbezaan cara hidup mulanya membawa kepada perasaan benci, namun lama-kelamaan dengan hanya sekali lafaz salam, disulami dengan pengorbanan besar telah merubah hati dua insan ini kepada perasaan cinta. Dibintangi oleh Kamal Adli, Diana Amir, Mon Ryanti, Syuk Balas, Abdul Razak Ahmad serta ramai lagi, Salam Cinta bakal menjengah pawagam pada 6 September ini.

Jumaat, 31 Ogos 2012

Bengkel Penulisan Skrip Kamal Ishak

BENGKEL Penulisan Skrip anjuran Kamal Ishak lebih di kenali dengan panggilan Tuisyen Skrip kerana bengkel ini cuma memerlukan peserta sehingga lima orang sahaja yang akan di latih/fokus terpeinci kaedah menulis skrip dari peringkat asas. Bengkel selama tiga hari berterusan secara intensif dan fokus. Dengan yuran sebanyak RM1000, peserta akan diberi nota-nota bengkel, tayangan filem/drama contoh, senaskah skrip contoh, latihan dan semakan. Sijil penyertaan juga diberi. Peserta di jamin boleh menulis secara pro selepas mengikuti bengkel ini. Bengkel ini bukan bengkel kali pertama. Sudah banyak kali bengkel seperti ini di jalankan termasuk bengkel pengarahan, bengkel acting for camera, bengkel skrip advance, bengkel skrip dokumentari dan bengkel adaptasi novel ke skrip. Antara yang pernah menyertai ialah Sofea Jane, Vanida Imran, Era Fazira, Yaya Maembong (artis) dan lain-lain orang termasuk penulis skrip yang sudah ada pengalaman menulis.  Tarikh: 15hb hingga 17hb September 2012 Tempat: Takar Emas Sdn Bhd, No. 6-1, Jalan 5/4C, Desa melawati, Klang Gate, Ulu Klang, Kuala Lumpur Jam: 9 pagi hingga 5 petang Yuran: RM1000 Tutor: Kamal Ishak (pengarah filem/drama/dokumentari/penyunting/panel skrip/penceramah perfilaman/perunding kreatif perfileman) Email: kerismadura@yahoo.com  (untuk keterangan lanjut) Blog:  www.bagusfilem.blogspot.com  (untuk biodata)

12 Filem ceriakan Festival Filem Jepun

SEBANYAK 11 filem bahasa Jepun bakal ditayangkan selama 10 hari bersempena Festival Filem Jepun 2012 (JFF 2012) di Malaysia bermula 13 September ini. JFF 2012 dianjurkan oleh Pertubuhan Jepun Kuala Lumpur bersama dengan Golden Screen Cinemas (GSC) dan Konsulat Besar Jepun di Pulau Pinang menyenaraikan filem Key of Life, penerima anugerah Lakon Layar Terbaik Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-15, menerusi filem Key of Life. Peminat filem bahasa Jepun tanah air bukan sahaja berpeluang menonton filem arahan Kenji Uchida ini, malah di anggap beruntung kerana filem Key of Life ditayangkan di Malaysia tiga hari lebih awal daripada tarikh tayangannya di Jepun iaitu pada 15 September 2012. Key Of Life mengisahkan seorang pemuda bernama Sakurai (Masato Sakai) yang menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang pelakon. Kecewa dengan hidup, Sakurai nekad untuk membunuh diri. 11 lagi filem turut ditayangkan sepanjang JFF 2012, ialah filem A Good Husband, arahan Yukisada Isao, ALWAYS – Sunset On Third Street – 3 (Yamazaki Takashi), Hayabusa (Tsutsumi Yukihiko), I Wish (Kore-eda Hirokazu), Ninja Kids! (Miike Takashi), Permanent Nobara (Yoshida Daihachi), Rebirth (Narushima Izuru), Someday (Sakamoto Junji), The Last Ronin (Sugita Shigemichi), Wonder Child (Hagiuda Koji), dan filem Death Of A Japanese Salesman, arahan Sunada Mami. JFF 2012 yang memulakan tayangan di pawagam di Lembah Kelang pada 13 hingga 18 September membabitkan pawagam di GSC Mid Valley, GSC Pavilion KL dan GSC 1 Utama. Manakala pada 20 September sehingga 23 September di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang. Tiket untuk menyaksikan filem-filem JFF 2012 dijual dengan harga RM5.00 setiap satu dan ia boleh dibeli dua hari sebelum tarikh tayangan di kaunter GSC, GSC E-Payment dan juga aplikasi mobil GSC. JFF 2012 akan mengakhiri acara tahunannya ini pada 23 September.

Khamis, 30 Ogos 2012

Giliran Cicak-Man 3, jadi filem 3D

SELEPAS menghasilkan filem Melayu pertama menggunakan format tiga dimensi (3D) menerusi filem 29 Februari, kini giliran filem Cicak-Man 3 bakal dihasilkan dalam format 3D. Cicak-Man 3, filem terbaru terbitan KRU ini, akan memulakan penggambaran pada Oktober ini. Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, berkata Cicak-Man 3 tidak akan dirakam menggunakan kamera dua lensa seperti yang dilakukan pada filem 29 Februari. Sebaliknya hanya akan menggunakan satu lensa, dan pengalihan ke bentuk 3D hanya akan dilakukan ketika proses pasca produksinya. "Dengan cara itu, kos penggambaran dapat dijimatkan, walaupun perbelanjaan ketika proses pasca produksi dijangka lebih tinggi," kata Norman. Selain itu Cicak-Man 3 bakal dibarisi pelakon baru, namun enggan mendedahkan adiwira membintangi filem arahan Yusry Abdul Halim ini.

Fiffy sahut lakon watak hitam

PELAKON remaja Fiffy Natasya, mengakui bersedia menyahut tawaran berlakon watak hitam. Kemunculannya dalam filem terbaru Leftwings, sekaligus menjadi realiti dalam mengasah bakat lakonannya. "Memang orang cakap watak hitam banyak bawa kesan buruk kepada artis. Saya akui takut orang kata saya liar, tapi pada masa sama, apa yang saya lakonkan itu hanya rekaan watak semata-mata. “Sedangkan dalam realiti kehidupan saya sebenarnya orang biasa yang punya keluarga yang bersedia ditegur jika membuat kesilapan," katanya. Anak wayang yang kini berusia 19 tahun, turut teruja membintangi Leftwings, kerana pernah menyimpan hasrat berlakon di dalam filem bertemakan muzikal rock. Filem Leftwings arahan Faisal Chal Ahmad, menemui penonton pada 30 Ogos ini, turut dibintangi oleh Aweera, Zouladeq, Wan Zaimie dan ramai lagi pelakon pembantu.

Rabu, 29 Ogos 2012

Edry akui ambil masa 6 bulan buat kajian

SUTRADARA Edry Abdul Halim mengakui mengambil masa hampir enam bulan untuk membuat kajian di Filem Negara serta mencari visual yang sesuai untuk digunakan dalam filem itu. Ini kerana kebanyakan visual sudah berada dalam keadaan yang tidak memuaskan dan perlu mengambil masa untuk diperbaiki supaya ia sesuai dengan format 3 Dimensi (3D) yang cuba dilaksanakan dalam filem 29 Februari ini. "Kami turut mengambil masa selama dua bulan mencantikkan visual hitam putih itu dengan memasukkan warna bagi memberikan impak berbeza kepada penonton terutama yang menonton menerusi 3D "Penggunaan visual lama ketika penjajahan British, Jepun sehinggalah sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah sebagai bentuk naratif penceritaan menggambarkan kehidupan lelaki istimewa bernama Budi yang kelihatan masih muda walaupun dilahirkan pada tahun 1892,” kata Edry. Sementara itu Edry nafikan filem 29 Februari tiada kaitan dengan tema patriotik. Ini kerana karya terbarunya itu bukan bertemakan patriotik walaupun banyak memasukkan elemen sejarah. "Tema filem ini bukan patriotik kerana saya mengangkat konsep biografi fantasi sebagai asas utama yang belum pernah dibuat oleh mana-mana penerbit atau pengarah di negara ini. "Visual lama digunakan seiring dengan perkembangan watak Budi yang melalui pelbagai peristiwa penting dalam negara sehingga tahun 2012," katanya. Edry, 36, bagaimanapun tidak menafikan semua visual lama yang dimasukkan dalam filem itu secara tidak langsung dapat mengingatkan semula memori terhadap kejadian-kejadian yang pernah berlaku di negara ini sebelum kemerdekaan. "Pada yang pernah melalui beberapa peristiwa yang dipaparkan ia dapat menyegarkan memori mereka dan pada generasi baru ia sebagai satu bentuk pengetahuan secara tidak langsung buat mereka,” katanya yang berharap 29 Februari akan mendapat perhatian penonton. 29 Februari, filem pertama di Malaysia menggunakan konsep 3D, sentuhan berbeza daripada KRU Studios. Selain itu dua lagi format iaitu 2D dan 35mm ditayang secara serentak di 79 buah pawagam di seluruh negara mulai 30 Ogos ini. “Filem ini bukan sahaja mempunyai kekuatan daripada segi jalan cerita dan lakonan para pelakonnya tetapi teknologi 3D serta kesan khas (CGI) dan skor muzik, penataan bunyi memberikan kelainan. "Lakonan mantap daripada Remy dan Jojo Goh memang tidak dapat disangkal namun kelainan yang tidak pernah ditonjolkan dalam filem lain di Malaysia menjadi filem ini istimewa," kata Edry lagi.

SAM catat RM1.5 juta

Tahniah kepada Syafiq pengarah muda yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Record 2012 kerana filem pertama arahannya, SAM setakad ini berjaya mencatat kutioan RM1.5 juta dalam masa sembilan hari tayangan. Diharap angka ini akan berubah dalam masa beberapa hari lagi...

Selasa, 28 Ogos 2012

Aksi Ceria Selebriti Meriahkan Tayangan Filem 29 Februari

MERIAH. Kehadiran ramai tetamu khasnya selebriti menjayakan malam gala tayangan filem 29 Februari di Sunway mendapat liputan meluas dari rakan media. Karpet merah 29 Februari menjadi tumpuan lensa jurukamera. Tahniah kepada KrRU Film khasnya Edry Halim, berjaya menjadikan filem ini sangat menarik dengan penampilan 3D yang mencetuskan kelaian di persada filem tempatan.

Remy, Jac dan Forteen ceriakan Filem 29 Februari

Percubaan pertama Remy nyanyikan lagu Kelip-kelip, berjaya SEBAGAI pelakon utama filem 29 Februari, Remy Ishak mengakui teruja menyanyikan lagu Kelip Kelip-Kelip untuk filem ini. Ini percubaan pertama Remy dan ternyata tidak menghampakan. “Ini pertama kali saya menyanyi di dalam filem. Walaupun pernah ada pengalaman menyanyi di pentas teater muzikal, namun perasaan dan pengalamannya jauh berbeza. Saya terpaksa menyanyi sambil berlari diiringi dengan tangisan ketika itu. “ Itu merupakan antara babak nyanyian yang saya tidak boleh lupakan. Terpaksa lakukan tiga perkara dalam satu masa yang sama. Filem ini betul-betul menguji kredibiliti saya sebagai pelakon kerana penat bermain dengan emosi. “Mungkin juga, ini pengalaman pertama saya bekerja di bawah Edry Abd. Halim, disebabkan itu saya tidak dapat fahami apa yang pengarah mahukan. Namun semuanya berakhir dengan jayanya diatas kerja kuat dari produksi KRU Studios,” kata Remy.
Vokal Jac mantapkan lagu Jagalah Diri KEMANTAPAN lagu Jagalah Diri berkonsepkan ballad amat sinonim dengan kekuatan vokal yang dimiliki Jaclyn Victor. Lagu ini menceritakan apabila kehilangan orang tersayang, tangisan dan kesedihan tidak akan mengubah keadaan. Lagu ini bersifat keakuran dengan ujian takdir bagi mereka yang terpisah selamanya-lamanya. Dengan kemampuan vokal mantap Jac dan berbekalkan lagu yang berskala besar, ia dilihat amat berpotensi dan mampu meneruskan kejayaan filem ini.
Forteen dapat kepercayaan Edry IMPAK positif daripada aura lagu Berdua Bersatu, memberi peluang kepada Forteen, band berkonsepkan vokal berkumpulan, menyanyikan lagu Seperti Dulu untuk runut album lagu filem 29 Februari. Kemampuan Forteen menyakinkan Edry memberi kepercayaan kepada kumpulkan ini membawakan lagu Seperti Dulu memandangkan konsep lagu ini amat bersesuaian dengan kumpulan tersebut. Klip video lagu ini boleh dilayari laman web www.krustudios.com, Facebook www.facebook.com/29februari atau rangkaian “krustudios” di You Tube.
4 Lagu Runut Bunyi 29 Februari KRU Music menerbitkan empat lagu untuk filem 29 Februari, namun hanya tiga utama dipilih untuk dikeluarkan secara single untuk siaran radio. Tiga lagu itu ialah Kelip-kelip nyanyian Remy Ishak, Jagalah Diri nyanyian Jaclyn Victor dan Seperti Dulu nyanyian Forteen. Selain mengarah filem ini, Edry Abdul Halim, turut bertanggung jawab mencipta dan menulis lirik lagu ini. “Bagi menyemarakkan lagi promosi filem ini tiga lagu dipilih untuk dikeluarkan secara berperingkat untuk siaran radio khususnya untuk langganan nada dering bagi peminat-peminat muzik di Malaysia. “Tiga lagu daripada tiga penyanyi yang mempunyai latarbelakang yang berbeza serta masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri” kata KC Ismail, Timbalan Presiden KRU Music di majlis perlancaran album runut bunyi filem ini, baru-baru ini. Sementara itu Edry menambah, cabaran tetap ada menghasilkan lagu ini walaupun sebahagian daripada lagu terbabit sudah berada dalam genggaman namun harus mempersembahkannya mengikut era yang dipaparkan dalam filem ini.