Jumaat, 7 September 2012

Salam Cinta ada kekuatan tersendiri – Azhari Zain

SUTRADARA Azhari Zain meyifatkan naskah Salam Cinta ini punya kekuatan tersendiri dan dilihat lebih dekat dengan senario dunia selebriti masa kini. Pernah mengarahkan filem komedi, seram seperti Santau, Mantra, Hantu Dalam Botol Kicap, filem taruhan terbarunya, Salam Cinta bukanlah filem Islamik pertama arahannya kerana sebelum ini, filem 7 Petala terlebih dahulu menjengah pawagam. Tambah Azhari lagi, Salam Cinta yang telah disiapkan bulan lepas pada bulan Ramadan, adalah penghijrahan ke jalan yang lebih baik dipilih oleh seseorang selebriti, akan ada dilema berkenaan hala tuju mereka dalam dunia hiburan, dan 'Salam Cinta' turut menyentuh aspek tersebut. Azhari yang berada dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG, seakan menyuntik semangat kepadanya dalam menyahut cabaran mengarahkan filem bergenre Islamik, genre yang kurang berani diketengahkan oleh pengarah di negara ini. "Filem ini menekankan konsep berlapang hati, berlapang dada menerima kelebihan serta kelemahan pasangan kita seadanya. “Namun ia digarap secara Islamik yang berkonsepkan penghijrahan di mana menuntut pengorbanan tinggi yang perlu dilalui individu yang bergelumang dalam dunia populariti. "Apa yang membuat saya tertarik dengan naskah ini adalah ia seperti dekat dengan senario penghijrahan selebriti-selebriti tanahair masa kini. “Kalau ia tidak 100 peratus tepat, namun intipatinya sedikit sebanyak mencerminkan pengorbanan yang diambil oleh mereka yang bergelar anak seni," kata Azhari. Dia yang ditemui pada majlis pra tonton filem ini di TGV, Sunway Pyramid, baru-baru ini turut meluahkan rasa puas hati dengan penerimaan rata-rata penonton yang terhibur dan berpuas hati dengan filem tersebut. "Saya amat berterima kasih pada pihak media dan peminat-peminat yang sudi hadir pada hari ini. Melihat pada penerimaan positif mereka pada filem ini benar-benar menggembirakan saya. "Meskipun filem seumpama ini adakalanya dipandang sepi, namun saya percaya ia tetap punya penggemar dan pengikutnya tersendiri. “Melihat pada kekuatan lakonan mantap barisan pelakon dalam filem ini juga, saya percaya ia dapat menarik lebih ramai lagi penonton menyaksikan filem komedi romantik bertema Islamik ini," kata Azhari lagi. Salam Cinta mengisahkan percintaan dua insan berlainan dunia. Perbezaan cara hidup mulanya membawa kepada perasaan benci, namun lama-kelamaan dengan hanya sekali lafaz salam, disulami dengan pengorbanan besar telah merubah hati dua insan ini kepada perasaan cinta. Dibintangi oleh Kamal Adli, Diana Amir, Mon Ryanti, Syuk Balas, Abdul Razak Ahmad serta ramai lagi, Salam Cinta bakal menjengah pawagam pada 6 September ini.

1 ulasan: