Sabtu, 12 Disember 2009

Ke Mana Di Mana








Pelanggan Hard Rock Hotel Penang diutamakan

JIKA bernasib baik, wajah anda boleh bertukar menjadi penyanyi Rock 'n Roll terkenal di dunia, Elvis Presley saat menatap ke arah cermin di dalam bilik air hotel terbaru di Pulau Pinang itu. Sebabnya, ada cermin di dalam bilik itu diganti dengan poster besar penyanyi tersebut.

Apa yang pasti, elemen muzik nyata cukup kuat di sana. Hampir setiap ceruk tidak dibiarkan kosong begitu sahaja. Sebaliknya, ruang-ruang yang ada diletakkan dengan alat muzik atau pakaian yang pernah dipakai oleh pemuzik tersohor ketika membuat persembahan.

Tidak cukup dengan itu, tampalan poster dan ukiran batu ikon-ikon muzik seakan-akan menjadikannya sebuah galeri kepada sesiapa sahaja yang mahu tahu lebih lanjut tentang muzik. Semua hiasan itu nyata membuatkan hotel yang mahu dikenali dengan nama Hard Rock Hotel Penang itu begitu istimewa.

Masuk sahaja ke pintu utamanya, pengunjung dialu-alukan dengan tali-tali lampu seperti candeliar berlogo Hard Rock Hotel yang boleh bertukar-tukar warna. Di sebelah kanan pula, 'berdiri' wajah-wajah tembaga anggota kumpulan Beatles.

Ruang lobinya luas dengan susunan beberapa set sofa yang selesa untuk berehat setelah terpaksa menempuh perjalanan jauh dan memenatkan. Tiada irama mendayu-dayu, sebaliknya telinga dihidangkan dengan pelbagai genre muzik yang pasti membangkitkan nostalgia.

Tidak jauh dari kaunter pendaftaran dan di sebalik kabinet kaca, pengunjung boleh meneliti secara dekat deretan baju artis-artis antarabangsa (saya fikir mungkin dari era 80-an) yang antaranya sarat dengan hiasan manik serta labuci.

Satu dinding bersebelahan lif pula terpampang sekali lagi wajah John Lennon, Ringo Starr, Paul McCartney dan George Harrison. Kali ini, wajah-wajah itu terbentuk daripada susunan batu-batu marmar berwarna ceria.

Mengambil lokasi di Batu Ferringhi, pengunjung boleh menjangkakan percutian yang memuaskan di Hard Rock Hotel Penang. Berehatlah sepuasnya dan tenangkan fikiran apabila dihembus oleh angin laut ketika berjalan di pantainya yang bersih.

"Hard Rock Hotel Penang akan menjadi hotel paling popular di pulau ini. Kami menawarkan resort pantai yang moden dan penuh gaya. Semuanya bagi memberikan pengalaman berharga buat setiap pengunjungnya," kata pengurus besar Hard Rock Hotel Penang, John Primmer.

Bangunan setinggi enam tingkat itu menempatkan 250 buah bilik dan suite yang kebanyakannya berhadapan dengan laut. Struktur dan hiasan dalaman biliknya menerapkan ciri moden sama ada dari segi susun atur perabot, mahupun produk yang digunakannya. Semua bilik dilengkapi dengan televisyen LCD bersaiz 32 inci, pemain DVD, radio kompak dan Internet WiFi.

Kemudahan yang ada juga boleh membuatkan anda tersenyum. Rasai keseronokan dan kelegaan apabila diurut di Rock Spa. Mahu bersenam dan keluarkan peluh, kunjungi sahaja Body Rock yang merupakan sebuah gimnasium lengkap dengan peralatan senaman terkini.

Bebaskan anak-anak untuk berseronok di Lil' Rock Kids dan Teens Club. Bagi yang gemar berparti pula, jangan lupa untuk singgah ke Stylista Coiffure.

Kolam mandi seluas 2,415 meter persegi yang 'melingkari' ruang santai mengadap pantai dan terletak di hadapan beberapa buah bilik pasti dapat memuaskan keinginan mereka yang gemar berenang.

Bosan duduk di dalam bilik? Dengan hanya berjalan kaki selama 20 minit, anda boleh pergi ke kawasan jualan atau deretan gerai yang dibuka hingga larut malam.

Di sana, pengunjung bukan hanya boleh mendapatkan cakera video digital (DVD), malah barangan lain seperti beg tangan berjenama mewah, pakaian dan jam tangan turut dicetak rompak dengan jayanya untuk anda miliki.

Selepas penat berjalan, apa kata hiburkan diri dengan alunan muzik band berpengalaman yang membuat persembahan di Hard Rock Cafe. Saya harus akui bahawa sistem audio yang ada di dalamnya memuaskan, sehinggakan tidak sedar sudah agak lama berada di sana.

Walaupun Hard Rock Cafe dibuka kepada orang luar, namun penghuni hotel tetap diberi keutamaan untuk berhibur. Bagi sesiapa yang gemarkan logo Hard Rock pula, barangan seperti kemeja-T, topi dan banyak lagi boleh didapati pada harga berpatutan. - Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN (ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my)

Info:

Hard Rock Hotel Penang

Batu Ferringhi Beach,

11100 Penang, Malaysia

Tel: +60 4 8811711

Fax: +60 4 8812155


Tiada ulasan:

Catat Ulasan