Rabu, 29 Ogos 2012

Edry akui ambil masa 6 bulan buat kajian

SUTRADARA Edry Abdul Halim mengakui mengambil masa hampir enam bulan untuk membuat kajian di Filem Negara serta mencari visual yang sesuai untuk digunakan dalam filem itu. Ini kerana kebanyakan visual sudah berada dalam keadaan yang tidak memuaskan dan perlu mengambil masa untuk diperbaiki supaya ia sesuai dengan format 3 Dimensi (3D) yang cuba dilaksanakan dalam filem 29 Februari ini. "Kami turut mengambil masa selama dua bulan mencantikkan visual hitam putih itu dengan memasukkan warna bagi memberikan impak berbeza kepada penonton terutama yang menonton menerusi 3D "Penggunaan visual lama ketika penjajahan British, Jepun sehinggalah sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah sebagai bentuk naratif penceritaan menggambarkan kehidupan lelaki istimewa bernama Budi yang kelihatan masih muda walaupun dilahirkan pada tahun 1892,” kata Edry. Sementara itu Edry nafikan filem 29 Februari tiada kaitan dengan tema patriotik. Ini kerana karya terbarunya itu bukan bertemakan patriotik walaupun banyak memasukkan elemen sejarah. "Tema filem ini bukan patriotik kerana saya mengangkat konsep biografi fantasi sebagai asas utama yang belum pernah dibuat oleh mana-mana penerbit atau pengarah di negara ini. "Visual lama digunakan seiring dengan perkembangan watak Budi yang melalui pelbagai peristiwa penting dalam negara sehingga tahun 2012," katanya. Edry, 36, bagaimanapun tidak menafikan semua visual lama yang dimasukkan dalam filem itu secara tidak langsung dapat mengingatkan semula memori terhadap kejadian-kejadian yang pernah berlaku di negara ini sebelum kemerdekaan. "Pada yang pernah melalui beberapa peristiwa yang dipaparkan ia dapat menyegarkan memori mereka dan pada generasi baru ia sebagai satu bentuk pengetahuan secara tidak langsung buat mereka,” katanya yang berharap 29 Februari akan mendapat perhatian penonton. 29 Februari, filem pertama di Malaysia menggunakan konsep 3D, sentuhan berbeza daripada KRU Studios. Selain itu dua lagi format iaitu 2D dan 35mm ditayang secara serentak di 79 buah pawagam di seluruh negara mulai 30 Ogos ini. “Filem ini bukan sahaja mempunyai kekuatan daripada segi jalan cerita dan lakonan para pelakonnya tetapi teknologi 3D serta kesan khas (CGI) dan skor muzik, penataan bunyi memberikan kelainan. "Lakonan mantap daripada Remy dan Jojo Goh memang tidak dapat disangkal namun kelainan yang tidak pernah ditonjolkan dalam filem lain di Malaysia menjadi filem ini istimewa," kata Edry lagi.

1 ulasan:

  1. Hebat. Untuk berjaya perlukan kerja keras dan homework yang terperinci...tahniah Edry.

    BalasPadam