Khamis, 13 September 2012

Hashim Rejab bangga Halim Munan filem pertama guna 80% CGI

SUTRDARA Hashim Rejab melahirkan perasaan bangga kerana filem terbarunya, Halim Munan mengguna 80 peratus imej janaan komputer (CGI) yang jarang dibuat. Selain itu beliau juga gembira melihat reaksi penonton sebaik keluar dari panggung selepas menonton Halim Munan, sejak tayangan pada hari pertama 13 September lalu. Filem genre komedi seram berdurasi 80 minit ini membariskan lakonan Fizo Omar, Intan Ladyana, Zul Suphia’an, Fendi Balas, Gbob, Khatijah Tan dan Wan Hanafi Su. Ini filem kelima arahannya dan kali pertama bersama penerbit, RR Empire yang bekerjasama dengan syarikat penerbitan terkenal dan aktif, Metrowealth (MIG) yang bertindak sebagai pengedar. Kata Hashim, Halim Munan adalah filem pertama negara ini menggunakan 80 peratus imej janaan komputer (CGI) yang jarang dibuat. “Dorongan kesan CGI membuatkan filem ini sedikit berlainan daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini seperti filem Papa I Love You atau 3 Temu Janji. “Teknik seperti ini jarang, mungkin dibuat dalam tempoh 10 tahun sekali. Disebabkan faktor itu, saya meletakkan harapan agar penonton datang ke pawagam menonton Halim Munan kerana ia ada nilai tersendiri. “Saya sendiri berbesar hati ditawarkan tugasan mengarah filem ini kerana ia membolehkan saya meneroka lebih jauh dan melihat seseorang pelakon diketengahkan dalam bentuk lain,” kata pengarah drama bersiri popular Adamaya ini. Hashim merupakan pengarah muda yang terlibat dengan Skim 10 Pengarah Muda Metrowealth International Group (MIG). Filem lain yang pernah diarahkannya ialah Sekali Lagi. Halim Munan yang menjalani penggambarannya di sekitar Lembah Klang pada 19 April lalu, turut menampilkan Gbob Raja Lawak. Selain GBob, penampilan sulung Kumpulan Balas di layar perak, yang menjadi peserta finale rancangan realiti TV Raja Lawak musim kelima.

2 ulasan: