Sabtu, 25 Ogos 2012

Aweera mahu berjaya sebagai penyanyi, pelakon

PENDATANG baru persada lakonan filem, Aweera berkata dia mengambil keputusan untuk serius dalam bidang lakonan kerana ingin mengembangkan kerjaya seninya selain nyanyian. “Saya ingin lebih serius dalam dunia lakonan selepas ini dan berharap filem berkenaan akan mendapat sambutan baik daripada peminat. "Saya mendapat tawaran berlakon filem berkenaan selepas menghadiri uji bakat yang diadakan dan apabila merasai pengalaman berada di set penggambaran saya jadi seronok dan ingin melakukannya lagi," katanya. Bagaimanapun vokalis kumpulan Mojo ini, berkata tidak bermakna dunia lakonan mendorongnya meninggalkan dunia nyanyian kerana baginya kumpulan Mojo adalah keutamaannya buat masa ini. Dalam pada itu Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham berkata dia tidak sabar menonton filem lakonan pertamanya di pawagam bersama peminat filem. Malah turut mengakui berdebar mendengar reaksi penonton namun sudah bersedia menerima kritikan sama ada positif atau sebaliknya. "Memang saya teruja menunggu tayangan filem ini. Malah berharap peminat Mojo akan datang beramai-ramai menonton Leftwings sebagai sokongan," kata Aweera. Filem arahan Faisal Caal Ahmad itu turut menampilkan pelakon Shikin Kamal dan akan ditayangkan di seluruh pawagam bermula pada 30 Ogos ini. Aweera sebelum ini terkilan apabila kenyataannya dalam akhbar telah disalah erti sehingga menimbulkan salah faham dikalangan peminatnya dan penyanyi rock, Awie. Dia tidak pernah memberitahu meniru cara nyanyian Awie ketika ditanya mengenai persamaan yang berlaku di antara mereka sebaliknya mengagumi dan menjadikan penyanyi itu sebagai idola. "Saya cuma kata Awie adalah idola saya dan bukannya meniru gayanya. Kalau bercakap pasal nak jadi seperti Awie dan menyanyi sepertinya memang tidak akan ada orang boleh lawan beliau. "Saya sebagai penyanyi baru memang kagum dengannya dan meminatinya sejak kecil," katanya. Dalam pada itu, Aweera berkata dia tidak pernah berniat untuk menimbulkan kontroversi dengan kenyataannya itu sebaliknya cuba bekerjasama dengan wartawan apabila ditanya pelbagai soalan. Aweera mengakui, sikapnya yang suka bergurau mungkin telah menyebabkan salah faham dengan apa yang dikatakannya sehingga dipandang serius oleh sesetengah pihak. "Bukan nak salahkan sesiapa tetapi memang tiada niat untuk cetuskan apa-apa kontroversi sebegini dan perkara ini juga saya sudah dijelaskan kepada wartawan yang menulis artikel itu," katanya lagi. Dalam perkembangan lain, Aweera akan menyambut Hari Raya di kampung halamannya di Kangar, Perlis selama seminggu.

1 ulasan:

  1. jom menonton Leftwings sebagai sokongan kepada kejayaan filem ini

    BalasPadam