Sabtu, 25 Ogos 2012

Filem Leftwings lebih rock?

SEBAGAI salah sebuah kumpulan rock tempatan yang telah mencipta nama dalam persada muzik tanah air sejak lebih 25 tahun lalu, Wings bukan sahaja diminati oleh ramai peminat yang menjadikan mereka sebagai idola. Malah pengarah filem seperti Faisal Chal Ahmad yang pernah terkenal dengan filem Gila-gila Remaja suatu masa dahulu kini kembali dengan filem muzikal rock yang mempunyai elemen sama, tetapi dengan gaya lebih rock. Beliau turut mengangkat aura dan populariti Wings ke layar perak menerusi filem pertama arahannya berjudul Leftwings. Bagi Chal, idea untuk menjadikan kredibiliti Wings sebagai kumpulan yang terkenal sebagai bahan cerita menerusi medium perfileman bukanlah baru sebaliknya ia telah mula berlegar dalam fikirannya sejak hampir 10 tahun lalu. Dibarisi para pelakon yang kebanyakannya masih baru lagi dalam dunia lakonan, filem Leftwings ini bertujuan memberikan kelainan kepada industri filem tempatan yang penuh dengan stereotaip drama romantik dan komedi seram. "Tekanan dan saingan hebat di kalangan pembikin membuatkan pelakon baru sukar menaikkan nama di Malaysia. Saya memilih banyak pelakon baru untuk filem Leftwings, dengan harapan agar masalah sebegini boleh diatasi," kata Faisal. Bukan itu sahaja cabaran yang harus dihadapi beliau, malah, filem bergenre muzikal rock itu merupakan filem arahan sulung beliau. Filem ini berkisarkan tentang empat pemuda yang diilhamkan oleh kumpulan rock Wings untuk menubuhkan kumpulan Indie bernama Leftwings, dan memasang impian untuk berjaya dalam dunia muzik. Filem Leftwings yang ditayangkan pada 30 Ogos ini dibintangi oleh vokalis kumpulan MOJO, Aweera, Zouladeq, Wan Zaimie, Paly dan Ebi Kornelis. Dalam perkembangan lain, Faisal memberitahu kini beliau sedang sibuk dengan penggambaran filem sekuel Gila-gila Remaja.

1 ulasan: