Selasa, 28 Ogos 2012

Remy, Jac dan Forteen ceriakan Filem 29 Februari

Percubaan pertama Remy nyanyikan lagu Kelip-kelip, berjaya SEBAGAI pelakon utama filem 29 Februari, Remy Ishak mengakui teruja menyanyikan lagu Kelip Kelip-Kelip untuk filem ini. Ini percubaan pertama Remy dan ternyata tidak menghampakan. “Ini pertama kali saya menyanyi di dalam filem. Walaupun pernah ada pengalaman menyanyi di pentas teater muzikal, namun perasaan dan pengalamannya jauh berbeza. Saya terpaksa menyanyi sambil berlari diiringi dengan tangisan ketika itu. “ Itu merupakan antara babak nyanyian yang saya tidak boleh lupakan. Terpaksa lakukan tiga perkara dalam satu masa yang sama. Filem ini betul-betul menguji kredibiliti saya sebagai pelakon kerana penat bermain dengan emosi. “Mungkin juga, ini pengalaman pertama saya bekerja di bawah Edry Abd. Halim, disebabkan itu saya tidak dapat fahami apa yang pengarah mahukan. Namun semuanya berakhir dengan jayanya diatas kerja kuat dari produksi KRU Studios,” kata Remy.
Vokal Jac mantapkan lagu Jagalah Diri KEMANTAPAN lagu Jagalah Diri berkonsepkan ballad amat sinonim dengan kekuatan vokal yang dimiliki Jaclyn Victor. Lagu ini menceritakan apabila kehilangan orang tersayang, tangisan dan kesedihan tidak akan mengubah keadaan. Lagu ini bersifat keakuran dengan ujian takdir bagi mereka yang terpisah selamanya-lamanya. Dengan kemampuan vokal mantap Jac dan berbekalkan lagu yang berskala besar, ia dilihat amat berpotensi dan mampu meneruskan kejayaan filem ini.
Forteen dapat kepercayaan Edry IMPAK positif daripada aura lagu Berdua Bersatu, memberi peluang kepada Forteen, band berkonsepkan vokal berkumpulan, menyanyikan lagu Seperti Dulu untuk runut album lagu filem 29 Februari. Kemampuan Forteen menyakinkan Edry memberi kepercayaan kepada kumpulkan ini membawakan lagu Seperti Dulu memandangkan konsep lagu ini amat bersesuaian dengan kumpulan tersebut. Klip video lagu ini boleh dilayari laman web www.krustudios.com, Facebook www.facebook.com/29februari atau rangkaian “krustudios” di You Tube.
4 Lagu Runut Bunyi 29 Februari KRU Music menerbitkan empat lagu untuk filem 29 Februari, namun hanya tiga utama dipilih untuk dikeluarkan secara single untuk siaran radio. Tiga lagu itu ialah Kelip-kelip nyanyian Remy Ishak, Jagalah Diri nyanyian Jaclyn Victor dan Seperti Dulu nyanyian Forteen. Selain mengarah filem ini, Edry Abdul Halim, turut bertanggung jawab mencipta dan menulis lirik lagu ini. “Bagi menyemarakkan lagi promosi filem ini tiga lagu dipilih untuk dikeluarkan secara berperingkat untuk siaran radio khususnya untuk langganan nada dering bagi peminat-peminat muzik di Malaysia. “Tiga lagu daripada tiga penyanyi yang mempunyai latarbelakang yang berbeza serta masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri” kata KC Ismail, Timbalan Presiden KRU Music di majlis perlancaran album runut bunyi filem ini, baru-baru ini. Sementara itu Edry menambah, cabaran tetap ada menghasilkan lagu ini walaupun sebahagian daripada lagu terbabit sudah berada dalam genggaman namun harus mempersembahkannya mengikut era yang dipaparkan dalam filem ini. 

1 ulasan: