Isnin, 27 Ogos 2012

Sinopsis Filem 29 Februari

FILEM muzikal sejarah mengisahkan kehidupan Budi lakonan Remy Ishak yang dilahirkan pada tahun lompat 29 Februari 1896 dan faktor tarikh lahirnya yang hanya muncul empat tahun sekali, memberi kesan kepada perjalanan hidupnya. Malah dia sendiri merasa pelik kerana masih hidup sehingga era 90-an selain memiliki wajah yang masih tidak nampak tua walaupun lahir pada 1896. Dengan keadaan fizikalnya yang kelihatan terbantut menyebabkan masyarakat menganggap kecacatan itu sebagai suatu sumpahan, sedangkan ianya suatu anugerah kepada Budi untuk melalui era transformasi Tanah Melayu, Malaya dan akhirnya Malaysia yang bebas merdeka.    Atas faktor tersebut, Budi yang kehilangan orang yang tersayang, apabila ibubapanya meninggal dunia semasa penjajahan Jepun pada 1941, telah diasuh di rumah bakti bersama sahabat baiknya Razak, lakonan Izzue Islam yang cacat penglihatan.   Budi melalui perjalanan hidup berlatarbelakangkan detik-detik bersejarah negara dari penjajahan Jepun kepada pemerintahan British, negara mencapai kemerdekaan sehingga era kemodenan Malaysia. Dia mula mengenali erti kebahagiaan apabila berkenalan dengan Lily pada tahun negara mencapai kemerdekaan. Walaubagaimanapun, kisah percintaan Budi dan Lily melalui pelbagai cabaran dan cinta terlarang. Lily melarikan diri apabila dipaksa berkahwin dengan Alex, kenalan keluarganya. Kehilangan Lily membuatkan Budi menghabiskan masa selama 40 tahun mencari kekasihnya. Apakah satu-satunya cinta Budi akan kekal abadi, seiring dengan hayatnya yang tidak dimakan usia? Tonton sehingga ke penghujung kisah ini yang akan membuatkan segenap emosi penonton bercampur-baur.  

1 ulasan:

  1. skrip filem yang menarik dan lain dari yang pernah ditonton...

    BalasPadam