Khamis, 16 Ogos 2012

WAWA AKUI KOSONG ILMU BERLAKON

BERSYUKUR SELEPAS BINTANGI 7 FILEM BANYAK TIMBA PENGALAMAN PELAKON berlesung pipit, Wawa atau nama sebenarnya, Nurhawa Zainal Abidin, mengakui pembabitan awal sebagai anak seni, kosong tanpa pengalaman dan ilmu. Hari ini pelakon kelahiran Lahad Datu, Sabah ini, bersyukur kerana selepas hampir setahun, banyak yang dipelajarinya mengenai dunia lakonan dan kerja-kerja disebalik tabir pembikinan filem. Bagi artis di bawah pengurusan MiG Production ini, tanpa bimbingan sutradara filem dan menjadikan beberapa pelakon sebagai tempat rujukan lakonan dari mereka yang berpengalaman di layar perak, tidak mungkin dia berjaya seperti sekarang. Wawa yang baru berusia 20 tahun ini, menjadi sifunya ialah Que Haidar, Erra Fazira , Wan Maimunah dan dari merekalah dia mengenal istilah seni lakon dalam acuan penerimaan dan pasaran bergelar pelakon di Malaysia. "Waktu itu saya datang Kuala Lumpur untuk makan angin sahaja. Tak sangka profil yang dihantar mendapat perhatian untuk diberi watak dalam drama bersiri remaja, Klik. “Saya mengaku selama ini tidak pernah berlakon untuk mana-mana syarikat produksi. Mungkin berbekalkan wajah yang sedap dipandang ini punya rezeki tersendiri. “Syukur Alhamdulillah kerana daripada tiada pengalaman dan ilmu kosong mengenai lakonan, hari ini saya diberikan peluang berlakon dan mendapat kepercayaan oleh sutradara. “Tak sangka hanya mencuba nasib, bidang lakonan menjadi sumber rezeki sekaligus menjadi realiti dalam hidup saya sebagai anak wayang,” kata Wawa. Antaranya filem lakonan Wawa yang sudah menemui penonton ialah Sumpahan Kum Kum, Hantu Dalam Botol Kicap, Seram Sejuk dan Tiga Temujanji. Manakala dua lagi filem bakal muncul pada tahun ini ialah AjiNohMoto dan Budak Pailang.  Menyentuh meningkatkan lagi mutu lakonan, Wawa tak segan mendedahkan rahsia, yang dia sering bercakap seorang diri dan selalu tengok balik lakonan. "Kalau di rumah, saya suka bercakap seorang diri dan tengok balik lakonan saya. Itu cara saya menaikkan kualiti lakonan. Selain itu saya turut bertanyakan orang tentang lakonan saya. "Saya mengakui masih banyak lagi yang saya perlu dipelajari. Sekaranglah masanya untuk saya berusaha memantapkan skil lakonan," katanya sambil mengakui dirinya masih mentah dalam lakonan Mengenai kehidupan sebagai artis yang tidak boleh lari daripada gosip, Wawa menganggap sebagai asam garam yang kadang-kala menakutnya. Baru-baru ini, Wawa dihambat kisah sedang bercinta dengan pelakon terkenal Shaheizy Sam. Namun pelakon ini dengan wajah selamba menyifatkan gosip tersebut sebagai melucukan. "Memang saya teringin nak bercinta dengan dia. Tapi, bercinta hanya dalam filem," kata pelakon drama bersiri Cinta Buat Emelda ini. Menyentuh peranan sebagai Rose dalam filem Seram Sejuk, Wawa menyifatkan berlakon di samping orang lama seperti Sabri Yunus, sungguh menyeronokkan. Malah perasaan teruja apatah lagi buat kerana kali pertama berlakon di samping pemenang Anugerah Skrin 2011 Kategori Pengarah Drama Terbaik menerusi drama Sanggul Beracun ini. "Saya seronok berlakon dengan mereka terutama di samping Sabri Yunus, Angah Raja Lawak dan pelakon lain. Filem ini membuatkan saya bertekad terus berusaha memperbaiki lakonan. "Saya harap filem Seram Sejuk akan mendapat sambutan gangat daripada penonton semasa tayangannya pada hari raya ini," katanya. Sambil mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada muslimin dan muslimat, Wawa turut menghulur jari memohon maaf kepada peminat setianya, jika ada kata-kata melukakan hati mereka. "Selamat hari raya dari Wawa, maaf zahir dan batin," katanya yang turut bercuti selama seminggu pulang ke kampung halamanya, di Lahad Datu, Sabah.

1 ulasan: